Kitar semula adalah sesuatu proses yang melibatkan usaha mengumpul, memproses dan menggunakan semula bahan-bahan yang sebelum ini, telah dianggap sebagai sampah sarap.
Kenapa kitar semula?
• Untuk memelihara ruang hidup kita. • Untuk persekitaran yang lebih sihat dan bersih. • Untuk mengurangkan pencemaran . • Untuk menjimatkan kos. • Untuk menjimatkan sumber kita. • Untuk menjimatkan tenaga. • Untuk menyelamatkan hutan.
Apakah cara-cara untuk kitar semula? Kita hanya perlu mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula daripada sampah sarap dari tempat kediaman kita atau premis perniagaan kita atau pejabat dan sekolah anda. Kemudian, hubungilah syarikat pengutip bahan kitar semula. Atau, kita boleh meletakkan bahan-bahan kita ke tong sampah kitar semula yang telah disediakan. Ia boleh terdapat di estet perumahan anda, di beberapa pusat membeli-belah atau sekolah anda juga. Kita hanya perlu memasukkan bahan-bahan tersebut ke dalam tong kitar semula mengikut kod warna yang bersesuai.
Cara-cara untuk memulakan kitar semula di rumah, sekolah ataupun di pejabat?
1. Ubah cara anda membuang sampah. Jangan buang segala-galanya ke dalam tong sampah yang sama. Asingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula daripada sampah-sarap yang lain. Jika boleh, ambil sedikit usaha untuk mengasingkan kertas, plastik, tin, aluminium, dan juga barangan kaca.
2. Amalkan sistem yang mudah. Amalkan sistem yang mudah, dan harus dilakukan berterusan. Sediakan tong atau beg di tempat-tempat yang strategik di rumah, pejabat mahupun di sekolah. Tong atau beg tersebut boleh digunakan untuk menyimpan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
3. Pilihan berkas. Anda boleh menggunakan sebarang jenis tong ataupun beg. Contohnya : kotak kadbod, kotak kayu, bakul plastik dan rotan, tong sampah berpenutup, beg plastik, sarung guni dan lain-lain.
4. Libatkan ahli keluarga dan rakan sekerja. Amalan ini akan menjadi lebih mudah jika setiap orang komited untuk mengitar semula.
5. Pastikan ia ringkas. Tabiat lama memang amat sukar untuk dikiskis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. Yang penting, jangan beria-ia sangat dan jangan menggunakan kepaksaan. Seperti bak kata orang, hangat-hangat tahi ayam. Kita boleh mengamalkan konsep kitar semula selangkah demi selangkah.